Berdepan cabaran di pasaran kerja, jurutera elektrik pilih jadi suri rumah

Sumber: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Walaupun ramai graduan wanita yang tamat pengajian dalam sesuatu bidang, namun, tidak bermakna mereka kekal dengan bidang itu dalam pasaran kerja.

Mahu atau tidak, apabila seorang wanita memasuki alam pekerjaan, mereka perlu bersaing secara sihat dengan kaum lelaki.

Namun, benarkah kerana faktor persaingan semata-mata atau ada alasan lain yang mengakibatkan mereka hilang dari pasaran kerja?

Melor Hodari, 31, sanggup berhenti kerja tiga tahun lalu sebagai jurutera jualan di sebuah syarikat carigali terkemuka di ibu negara atas banyak faktor.

“Kalau dalam jabatan pemasaran kejuruteraan itu saya seorang sahaja perempuan, yang lain lelaki dan bos saya pun lelaki.

“Jadi ada halangan sikit di situ sebab mereka mahu layan pelanggan, tapi saya banyak elak. Ya lah, ramai sangat lelaki, saya seorang perempuan, jadi perkara sebegini kita sebagai wanita kita kena jagalah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Antara faktor lain termasuklah persaingan dengan kaum lelaki dalam bidang yang jelas didominasi oleh kaum adam itu.

“Diskriminasi saya rasa jugalah. Kita wanita ada lemahnya macam walaupun kita buat jualan pada kita dah sampai target, kita minta majikan lihat usaha kita, mungkin dirasakan tak patut bayar.

“Tu saya sendiri rasa tertindas, padahal ada yang satu pejabat dapat, mungkin dia uruskan projek lain. Jadi tertindas bila saya tidak dihantar menjalani latihan, mungkin dia nampak wanita ini lemah. Kenapa orang lain dapat? Mungkin dia nampak perempuan itu lemah,” ujarnya.

Dengan sokongan suami, wanita berkelulusan ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Melor antara contoh mereka yang tergolong dalam fenomena hilang dari pasaran kerja tetapi itu bukan penamat kepada segalanya.

Ekonominya tidak mati, sebaliknya dia berjinak-jinak dengan dunia perniagaan online dengan menghasilkan kimchi buatan sendiri.

Kini, baginya, dia lebih selesa dengan keusahawanan.

Malah, jika diberi peluang dan gaji lebih besar sebagai jurutera dalam bidang yang diceburinya sebelum ini, dia akan tolak kerana dia sudah tidak lagi berminat untuk makan gaji.

“InsyaAllah saya akan tolak sebab saya nampak apa faedah sebagai suri rumah, ada perniagaan sendiri, jaga anak, suami depan mata, InsyaAllah dapat redha suami,” katanya.

Justeru, menurutnya, pilihan di tangan seseorang wanita untuk membuat pilihan terbaik untuk keluarga, kerjaya dan diri sendiri.

Leave a Reply