Ke mana hilangnya penuntut lelaki di universiti awam?

Sumber: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Ke mana hilangnya lelaki di universiti awam?

Ini soalan relevan terutamanya apabila hampir kesemua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini didominasi penuntut wanita.

Menurut laporan Penang Institute, jurang penuntut lelaki dan wanita di universiti awam semakin membesar.

Adakah kita bersedia dengan keadaan di mana hanya golongan wanita memegang jawatan-jawatan besar dan profesional?

Trend ketika ini seakan membayangkan masa depan sebegitu.

Realitinya, golongan lelaki dalam sektor profesional akan semakin berkurangan.

Ini kerana, lelaki dilihat lebih cenderung untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Sebaliknya hanya memilih menamatkan pengajian di peringkat sijil.

Apabila lelaki mendominasi kerja kolar biru, maka akan wujud persaingan antara lelaki dan pekerja asing yang kini memenuhi sektor tersebut.

Pengurus Besar Penang Institute, Dr Ong Kian Ming berkata, jurang antara penuntut lelaki dan wanita semakin membesar.

“Jikalau indeks ini melebihi 1.5 ini bermaksud, kita berdepan serious diparity dan di Malaysia memang GPI ini lebih daripada 1.5 lebih kurang 1.6 macam ini.

“Tetapi ada universiti, IPTA spesifik di mana jurang itu lebih daripada dua, berbanding dengan satu. Dan saya rasa ini menunjukkan bahawa ini adalah sesuatu yang serius dan jurang ini sedang bertambah lagi dan menunjukkan bahawa lebih banyak perempuan masuk IPTA dan lebih banyak lelaki yang drop out daripada post-secondary education

Menurut Ong, isu tersebut bukan bermula di universiti awam, sebaliknya di sekolah menengah, pasca tingkatan tiga.

Fenomena ‘lost boys’

“Kenapa lost boys phenomenon (fenomena lost boys) ini bukan sahaja berlaku di universiti? Sebenarya fenomena ini berlaku di sekolah menengah. Selepas Tingkatan Tiga, ada banyak pelajar yang drop out.

“Tetapi yang drop out lebih di kalangan orang lelaki. Tingkatan Tiga dan juga Tingkatan Lima.

“Jadi isu ni bermula di Form Three dan Form Five. Mungkin lelaki berasa bahawa mereka, kalau tak begitu minat terhadap pelajaran, mereka boleh keluar bekerja. Dan itu memang hakikat, itu fakta.

Berbanding dengan perempuan mungkin lebih susah untuk mereka keluar,” katanya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Penang Institute, jelas menunjukkan jumlah pelajar perempuan yang berada di institut pengajian tinggi awam adalah lebih tinggi berbanding pelajar lelaki.

Jika dibandingkan universiti terkemuka negara, Universiti Malaya (UM) contohnya, dengan universiti terkemuka lain di negara-negara maju menunjukkan bahawa jurang jantina lebih luas.

Universiti Nasional Singapura yang berkongsi sejarah sama dengan UM, bagaimanapun dilihat lebih seimbang.

Nisbah yang hampir sama antara penuntut lelaki dan wanita.

Universiti lain seperti Yale, Oxford dan Monash (kampus Clayton) di Melbourne, Australia juga mempunyai jurang jantina yang lebih kecil berbanding dengan UM.

Apa yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah skor GPI di universiti awam telah meningkat saban tahun.
Purata, GPI kesemua universiti awam pada 2013 adalah 1.71. Jelas menunjukkan peningkatan jika dibandingkan pada 2009 iaitu 1.66.

Malah, peningkatan pengambilan penuntut wanita di universiti awam turut meningkat iaitu daripada 67,734 pada 2009 kepada 86,798 pada 2013.

Antara bidang pengajian yang menyaksikan jurang besar antara lelaki dan wanita ialah kejuruteraan, pembinaan dan pembuatan.

Sejumlah 45 peratus graduan kejuruteraan di Malaysia adalah wanita, berbanding 17 peratus di amerika syarikat.

Bekerja selepas umur 15, 17. Itu adalah isu nombor satu yg dikenalpasti dan perlu diselesaikan.

Justeru, beliau berpandangan satu inisiatif perlu diwujudkan untuk menggalakkan lebih ramai penuntut lelaki di universiti awam./

Pada masa sama, beliau mahu institusi teknikal dan vokasional yang menjadi pilihan golongan lelaki meningkatkan kualiti latihan dalam melahirkan modal insan yang lebih berkualiti.

Leave a Reply