Banyak peluang pekerjaan disediakan di Sungai Besar

Sumber: Sinar Harian

SUNGAI BESAR – Lebih 1,000 peluang pekerjaan disediakan kepada rakyat khususnya kepada golongan muda di kawasan Parlimen Sungai Besar pada Karnival Kerja Belia Negara yang diadakan di Pusat Logistik Parit 8, Sungai Leman, di sini, semalam.

Pengerusi Biro Pekerja Muda Pemuda Umno, Dazma Shah Daud berkata, karnival dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia itu adalah salah satu inisiatif yang mampu membuka peluang kepada golongan belia yang masih tidak mempunyai pekerjaan mencari pekerjaan yang sepadan.

“Hampir 250 golongan belia telah ditemuduga pada program ini, manakala, selebihnya yang telah didaftar akan ditemuduga di tempat syarikat-syarikat terbabit,” katanya.

Dazma Shah berkata, program yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, itu turut diserikan dengan beberapa program sampingan yang mana turut memberi ruang kepada anak muda tempatan menceburi bidang kemahiran teknikal.

“Kita sediakan program seperti gunting rambut, perkhidmatan penyelenggaraan motosikal, kereta dan pendingin hawa dengan hanya bayaran RM1,” katanya.

Beliau menjelaskan, program yang pada mulanya cetusan idea Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin itu telah membuka sebanyak 50 ruang pameran kerjaya termasuk pameran daripada agensi kerajaan berkaitan.

Justeru, katanya, beliau berharap program seperti itu dapat dilaksanakan pada masa depan bagi memberi peluang kepada anak tempatan khususnya di Sungai Besar menerokai peluang pekerjaan yang lebih meluas

Leave a Reply