Syarikat minyak dan gas pilihan pekerja di Malaysia

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 30 Mei – Syarikat minyak dan gas terus mengungguli carta sebagai pilihan utama syarikat atau majikan bagi pekerja di Malaysia.

Kaji selidik daripada portal pekerjaan, JobStreet.com yang disertai sebanyak 7,958 responden itu didahului oleh syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) buat dua tahun berturut-turut.

Tempat kedua daripada senarai tersebut adalah syarikat Inggeris-Belanda multinasional, Shell; manakala tempat ketiga ialah gergasi teknologi global, Google.

Sime Darby dan Malayan Ban­king Berhad (Maybank) masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima. Memenuhi senarai 10 syarikat teratas itu adalah AirAsia, Nestle, Intel, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Public Bank.

Pengurus Negara JobStreet.com, Chook Yuh Yng berkata, sebanyak enam daripada 10 syarikat yang terpilih itu merupakan syarikat tempatan memberi gambaran amat menggalakkan buat sektor pekerjaan negara.

Katanya, tujuan kaji selidik itu diadakan adalah untuk mencari sebab utama mengapa para pekerja ingin bekerja di syarikat-syarikat tertentu yang menjadi pilihan mereka.

“Graduan baharu perlu mengambil peluang dengan rangkaian syarikat-syarikat terbabit yang luas ke serata dunia kerana mampu menawarkan potensi yang baik untuk mereka berkembang.

“Daripada data itu, syarikat yang terpilih boleh dijadikan sebagai model kepada syarikat lain untuk mempromosikan tempat kerja yang lebih baik merangkumi semua aspek kepada para pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian hadiah bagi 10 syarikat teratas daripada JobStreet.com tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Malaysia, Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif SEEK Asia, Suresh Thiru.

Selain itu, kaji selidik tersebut juga menunjukkan sehingga 85 peratus pekerja mementingkan aspek ‘Manfaat dan Insentif’ dalam memilih majikan yang bersesuaian. Tempat kedua adalah ‘Gaji’ dengan 77 peratus.

Leave a Reply