Rakyat Malaysia kurang 
kemaskini pencapaian kerjaya

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 30 Mei – LinkedIn mendedahkan dalam kaji selidiknya bahawa rakyat Malaysia lebih cenderung untuk terlepas peluang kerjaya kerana kebanyakan pengambil pekerja melihat kepada pencapaian dalam talian, namun jumlah tersebut adalah sangat rendah bagi rakyat negara ini.

Pengarah Kanan Talent Solutions Asia Pasifik dan Jepun LinkedIn, Feon Ang berkata, kajian tersebut mendapati walaupun 80 peratus daripada pengambil pekerja di Malaysia menyatakan kepentingan pencapaian dalam talian, hanya 35 peratus daripada golongan profesional melakukannya.

Katanya, dalam persekitaran ekonomi yang mencabar di Malaysia dan dengan lebih banyak syarikat mengambil bakat dalam talian, ia adalah sangat pen­ting untuk golongan profesional mengemas kini profil dengan lebih kerap sebagai menyatakan pencapaian kerjaya mereka.

“Kajian yang dijalankan mendapati hanya 35 peratus daripada rakyat Malaysia berkongsi pencapaian dan kejayaan mereka secara dalam talian berban­ding pasaran pendahulu lain se­perti India sebanyak 62 peratus dan Amerika Syarikat kira-kira 54 peratus.

“Kajian ini juga mendapati bahawa profil rakyat Malaysia adalah paling kurang dikemas kini di seluruh dunia dengan 36 peratus menyatakan bahawa pencapaian kerjaya mereka tidak selari dengan profil dalam talian, diikuti oleh Hong Kong (35 peratus) dan Singapura (34 peratus),” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Kajian tahunan yang dijalankan di 19 buah negara itu bertujuan meneroka perubahan generasi, budaya dan industri khusus di tempat kerja.

Tambah beliau, sebanyak 70 peratus daripada pembuat keputusan dari segi pengambilan di Malaysia selalunya akan melihat kepada profil LinkedIn calon yang berpotensi sebelum mereka diambil bekerja.

“Profil yang kuat, kreatif dan sentiasa dikemas kini boleh menawarkan kelebihan kepada golongan profesional di negara ini dengan peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan impian mereka.

“Selain mempamerkan pencapaian, golongan profesional juga perlu menambah visual yang menarik perhatian seperti gambar, video atau pembentangan yang dapat membantu anda selangkah ke hadapan berbanding calon lain,” ujarnya.

Leave a Reply