Satu pertiga belia tiada pendapatan mapan

Sumber: Utusan Malaysia

CYBERJAYA 26 Mei – Satu pertiga daripada golo­ngan belia di negara ini terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pendapatan mapan.
M. Saravanan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk berkata, perkara tersebut membimbangkan terutama apabila negara hanya berbaki empat tahun untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Sehubungan itu be­liau berkata, pihak kerajaan akan mene­roka bidang-bidang baharu seperti pertanian, minyak dan gas serta penternakan yang dilihat dapat memberikan pendapatan mapan serta pertumbuhan pesat kepada golongan belia.

“Kita tidak boleh lagi bercakap tentang belia yang tergolong dalam kumpulan B40 sahaja kerana terdapat juga lepasan universiti yang bekerja di bank dan perkhidmatan awam yang tidak mempunyai pendapatan mapan.

“Jika seorang lepasan universiti mendapat pendapatan RM2,500, mereka tidak tergolong da­lam kumpulan B40 tetapi skop pendapatan itu tidak mapan kerana kurang daripada RM3,000,” kata­nya.

Beliau berkata demikian selepas me­lancarkan Kompas Undang-undang untuk Perusahaan Sosial anjuran Pusat Inovasi dan Kreati­viti Global Malaysia (MaGIC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pihaknya sentiasa memberi penekanan terhadap bidang pertanian kepada golongan belia memandangkan bidang tersebut menjanjikan pertumbuhan pesat.

“Ada segelintir rakyat yang le­bih selesa untuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapat wang RM200 daripada memulakan per­niagaan terutama pertanian. Kita perlu tumpukan usaha untuk mengubah mentaliti golongan ini,” kata beliau.

Dalam masa sama, Saravanan turut menyeru semua pihak agar memainkan peranan secara kolektif dalam memastikan golongan belia tidak tercicir daripada arus pemodenan negara ini.

Katanya, kerajaan telah ber­belanja jutaan ringgit bagi memberi latihan kepada belia tetapi usaha tersebut dikhuatiri jadi sia-sia jika golongan berkenaan hanya memperoleh pendapatan dalam lingkungan beberapa ribu ringgit sahaja.

“Kita sudah tiada masa lagi. Kita tidak boleh lagi tercicir pada ketika ini kerana peluang-peluang yang ada akan berkurangan hari demi hari,” katanya.

Leave a Reply