CUEPACS: Jawatan kosong perlu diisi segera

Sumber: Utusan Malaysia

KUCHING 22 Mei – Kerajaan dimohon untuk mengisikan segera kekoso­ngan penjawat awam yang telah bersara, meninggal dunia atau meletak jawatan yang dilihat tiada pengambilan dilakukan ketika ini.
Azih Muda

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhid­matan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, pe­ngi­si­an tersebut diperlukan ekoran ke­ku­rangan kakitangan yang me­nyebabkan banyak aduan diterima memaklumkan bebanan kerja penjawat awam semakin bertambah.

Katanya, kekosongan itu lambat diisi kerajaan menyebabkan sistem penyampaian kerajaan untuk rakyat agak tergendala.

“Maka, CUEPACS memohon agar kerajaan melihat secara serius dan membuat pengambilan baharu untuk mengisi kekoso­ngan ini.

“Ada penjawat awam terpaksa membuat kerja untuk dua hingga tiga orang sehingga bertambah bebanan mereka, menyebabkan penyampaian tidak berada pada tahap 100 peratus.

“Seperti dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dianggarkan 21,000 hingga 25,000 pekerja dalam setahun kekosongan yang perlu diisi, bagaimanapun kami lihat perkara itu tidak berlaku, tiada usaha pengambilan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­ras­mikan Mesyuarat Agung Tri­ta­hunan CUEPACS Negeri Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi CUEPACS negeri, Ahmad Malie dan Setiausaha CUEPACS negeri, Omar Bahrein Unin.

Semalam, Azih turut me­minta kerajaan menubuhkan jawatan­kuasa bagi mengkaji semua elaun kakitangan awam yang antaranya sudah berbelas tahun tidak pernah disemak.

Mengulas lanjut, Azih berkata, semua agensi terkesan contohnya di bawah Kementerian Kesihatan, Kesatuan Jururawat Malaysia memaklumkan mereka terpaksa membuat dua hingga tiga kerja ditambah dengan pesakit yang banyak.

“Pengisian kekosongan jawatan ini juga dilihat tidak akan memberi tekanan kepada kerajaan dengan keadaan ekonomi yang semakin baik.

“Oleh itu, kerajaan diminta menimbang secara serius pembekuan pengambilan penjawat awam,” ujarnya.

Leave a Reply