Kilang besi buka 3,515 peluang pekerjaan

Sumber: Utusan Malaysia

KUANTAN 17 Mei – Pembangunan utama fasa satu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng di sini yang melibatkan pembinaan kilang besi dan keluli moden bersepadu oleh syarikat Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. dengan pelaburan sejumlah RM5.6 bilion akan mewujudkan sebanyak 3,515 peluang pekerjaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerja-kerja tanah selesai dilaksanakan pada Disember tahun lalu dan pembinaan kilang, bangunan pentadbiran serta asrama pekerja bermula pada bulan Mac lalu.

“Bagi pembangunan fasa MCKIP yang seterusnya, kerajaan negeri mengenal pasti tanah seluas 404 hektar yang berdekatan dengan MCKIP,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soa­lan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) yang ingin tahu tentang kejayaan MCKIP dari segi penarikan pelaburan a­sing dan usaha penambahbaikan yang akan dan sedang dilakukan bagi menarik keha­diran pelabur ke situ.

Adnan berkata, ke­rajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyokong usaha pembangunan itu dengan membina pelbagai kemudahan infrastruktur termasuk jalan penghubung utama dari MCKIP ke Pelabuhan Kuantan dan Lebuh Raya Pantai Timur.

Katanya, paip retikulasi dan tangki-tangki simpanan air yang baharu juga telah dan sedang dibina bagi memastikan bekalan air yang stabil dan dapat memberikan keyakinan kepada pelabur.

“Secara keseluruhan, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM650 juta bagi projek infrastruktur ini,” katanya.

Beliau berkata, daripada sudut promosi pula, ECERDC akan terus bekerjasama de­ngan agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan kerajaan negeri bagi mempromosikan MCKIP kepada pelabur tempatan serta luar negara.

Laporan MOHAMAD SHOFI MAT ISA

Leave a Reply