Tenaga mahir tempatan isi 1.5 juta peluang kerja menjelang 2020

Sumber: Utusan Malaysia

KOTA KINABALU 16 Mei – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu tenaga kerja tempatan mengisi 1.5 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor yang bakal diwujudkan di negara ini menjelang tahun 2020 bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, 60 peratus daripada peluang kerja yang bakal diwujudkan berkenaan memerlukan tenaga mahir dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Kita mampu mengoptimumkan tenaga mahir, bukan bergantung kepada pekerja asing. Keutamaan perlu diberikan kepada pekerja tempatan, dan tenaga kerja tempatan perlu diberi gaji secukupnya supaya mereka dapat menyumbang kapada pembangunan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, demikian ketika berucap merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di kampus Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini. Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Sabah Maimunah Suhaibul.

Katanya, dengan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing ia sekali gus dapat menghalang kesan negatif kemasukan pekerja asing ke negara ini seperti pembawaan penyakit berjangkit termasuk kusta, batuk kering, untut dan sebagainya. – BERNAMA

Leave a Reply