Pasaran kerja tempatan perlu menarik

Sumber: Utusan Online

KEPUTUSAN kaji selidik SkootJobs.com secara dalam talian yang melibatkan lebih 15,000 belia berusia 18 hingga 35 tahun menunjukkan 26.6 peratus responden yang terdiri daripada belia Malaysia tidak menyukai pekerjaan mereka. Kajian juga mendapati 33 peratus daripada mereka benci pekerjaan masing-masing manakala 25.3 peratus lagi menyatakan ‘ok’ de­ngan pekerjaan mereka. Apakah ini satu situasi normal dalam sesebuah pasaran kerja yang semakin kompetitif dan mencabar?

Ironinya, tafsiran mudah yang boleh dibuat berdasarkan dapat­an kajian ini adalah belia kita selama ini melakukan sesuatu pekerjaan itu secara terpaksa dan bukannya kerana minat dan sukarela. Ini satu senario yang cukup menarik untuk dikupas kerana tatkala isu pengangguran masih terus diperkatakan secara me­luas, kita didedahkan pula de­ngan dapatan kajian seperti ini. Apakah ini sekali gus membuktikan segala tuduhan selama ini betapa belia kita sememangnya sangat memilih pekerjaan, benar? Atau apakah pasaran kerja tempatan masih belum cukup kompetitif dan mampu menarik minat belia?

Penulis percaya kedua-dua persoalan itu ada hubung kait dan perlu ditangani secara bersama. Ini kerana apa pun jawapannya situasi yang digambarkan oleh hasil kajian ini tetap tidak sihat kepada masa depan negara ini. Bayangkan apabila golongan ini benci dengan kerja masing-masing dan akhirnya tidak mahu bekerja, apa akan jadi kepada keperluan sumber tenaga kerja di negara ini? Adakah kita perlu secara berterusan bergantung harap kepada tenaga kerja luar? Cukup-cukuplah dengan apa yang ada, kita tidak mahu kebanjiran warga asing terus berlaku di negara ini.

Justeru semua pihak yang terbabit perlu melakukan sesuatu supaya masalah ini dapat diatasi segera. Misalnya, kita perlu kenal pasti apa punca sebenar belia tidak menyukai pekerjaan ataupun boleh ke tahap benci pekerjaan masing-masing. Ini satu persoalan yang cukup serius dan kritikal. Adakah ini berpunca dari­pada isu bayaran gaji yang rendah, tawaran pakej kemudahan yang kurang menarik atau jenis pekerjaan yang tidak memenuhi jiwa belia kita?

Kalau betul belia terlalu memilih kerja maka apa jalan penyelesaiannya? Apakah pasaran kerja tempatan masih tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan yang memenuhi citarasa belia dan kalau ini masih berlaku di mana silapnya? Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan sedang menuju ke status negara maju berpendapatan tinggi isu ini tidak sewajarnya timbul kerana kita percaya peluang kerja yang ditawarkan pastinya menarik dan kompetitif. Tetapi data kajian ini pula menunjukkan sebaliknya.

Apapun penulis ingin berpesan kepada golongan belia agar ja­nganlah terlalu memilih pekerjaan. Usia 18 hingga 35 tahun adalah satu tempoh masa yang cukup penting dalam menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan sebelum mendaki tangga berikutnya dalam alam pekerjaan masing-masing. Jus­teru, buang jauh-jauh fikiran negatif terhadap sesuatu pekerjaan yang dilakukan. Sepatutnya kita terima itu sebagai cabaran untuk bangkit membuktikan kemampuan sebenar.

Perlu diingatkan bilangan graduan semakin meningkat, ini menunjukkan persaingan dalam pasaran kerja tempatan juga semakin hari semakin mencabar. Maka mana mungkin kita dapat meneruskan survival kehidupan andai masih dengan mentaliti dan sikap memilih kerja. Jangan juga lupa betapa begitu ramai pekerja asing menantikan peluang untuk menyambar kerja yang kita sedang lakukan. Oleh itu, jangan kerana sikap dan ego, kita yang rugi kelak.

Dalam pada itu, majikan juga perlu ambil serius dapatan kajian ini seterusnya menilai semula peluang-peluang kerjaya yang sedang ditawarkan. Kita tidak mahu majikan sekali lagi berselindung di sebalik tuduhan klise bahawa belia kita memilih pekerjaan dan tidak mahu bekerja dengan gaji yang ditawarkan. Sampai bila kita boleh beri alasan ini?

Hakikatnya, agak tidak adil untuk kita menuding jari kepada golongan belia semata-mata kerana kita percaya golongan majikan juga ada peranannya dalam hal ini. Oleh kerana peratusan belia yang tidak menyukai pekerjaan mereka serta yang membenci pekerjaan mereka boleh dikatakan agak tinggi maka penulis percaya mesti ada perkara yang tidak kena dengan pasaran kerja tempatan.

Majikan perlu melihat semula segala kemudahan serta laluan kerjaya yang ditawarkan kepada belia kita. Ini mungkin bukan soal gaji semata-mata tetapi penulis percaya ia membabitkan peluang dan hala tuju masa depan belia itu sendiri. Mungkin belia melihat kerja yang ada sekarang tidak menjamin masa depan ataupun menyediakan laluan kerjaya yang jelas dan memberangsangkan kepada mereka.

Hal ini mungkin ada betulnya, misalnya bagi belia yang baru menamatkan pengajian mereka pastinya mengharapkan pekerjaan yang mampu menyediakan pengetahuan dan pengalaman yang baik di samping laluan kerjaya yang menarik supaya mereka boleh mencorakkan masa depan terutamanya berkaitan membina keluarga, membeli kereta, membeli rumah serta keperluan lain.
Dalam pada itu, sebagai orang baharu, belia juga mungkin memerlukan perhatian yang lebih serius dari pihak penyelia mahupun majikan di samping bimbingan dan suntikan motivasi yang berterus­an agar mereka dapat meminati pekerjaan yang mereka sedang lakukan.

Justeru, kita berharap semua pihak dapat menerima hasil dapatan kajian ini sebagai titik tolak untuk melakukan perubahan dan pembetulan yang diperlukan.

Golongan belia perlu per­betulkan sikap dan mentaliti masing-masing supaya tidak terlalu memilih kerja manakala majikan pula perlu mengutamakan aspek kebajikan pekerja terutamanya menggunakan pendekatan yang bersesuaian untuk memupuk rasa sayang pekerja kepada organisasi agar ia boleh mencetuskan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.

One thought on “Pasaran kerja tempatan perlu menarik

Leave a Reply